Sunday, June 27, 2010

PENGURUSAN TINGKAH LAKU

JENIS-JENIS TINGKAH LAKU BERMASALAH

Secara umumnya, tingkah laku bermasalah dapat dikategorikan kepada tingkah laku bermasalah positif dan tingkah laku bermasalah negatif.

A. Tingkah laku bermasalah positif

Tingkah laku bermasalah positif bermaksud tingkah laku positif yang ditunjukkan oleh kanak-kanak tetapi tingkah laku itu akan menjadi bermasalah sekiranya dilakukan secara berlebihan atau tanpa kawalan dan boleh menimbulkan masalah kepadanya. Misalnya, sifat ingin tahu yang berlebihan kepada seorang kanak-kanak boleh menyebabkannya bertindak keterlaluan sehingga menyusahkan dirinya dan orang lain.


B. Tingkah laku bermasalah negatif

Tingkah laku bermasalah negatif adalah jelas iaitu tingkah laku yang menimbulkan masalah kepada dirinya dan juga orang lain. Beberapa contoh tingkah laku bermasalah negatif adalah seperti berikut:

i. Tingkah laku Disruptif/mengganggu

Perlakuan sentiasa mengganggu perjalanan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Tingkah laku ini juga berlaku di luar kelas dan juga di rumah.

ii. Pergantungan berlebihan

Kanak-kanak yang sangat bergantung kepada orang lain, tidak dapat berdikari, dan tidak berupaya membuat keputusan sendiri.Contohnya tidak mahu hadir ke sekolah tanpa ditemani ibu. Kadangkala ada ibu yang terpaksa duduk di luar kelas.

iii. Agresif

Tingkah laku agesif adalah seperti suka memulakan pergaduhan, suka bergaduh, suka memaki hamun, dan sebagainya.

iv. Distruktif/merosakkan

Perlakuan yang suka merosakkan benda seperti kerusi meja, barangan kawan sekelas, mengoyak poster atau notis di papan kenyataan dan sebagainya.

v. Kebimbangan

Perasaan kurang senang atau takut akibat anggapan bahawa sesuatu yang tidak diingini akan berlaku. Keadaan ini akibat daripada pengalaman emosi yang tidak menggembirakan yang dialami oleh seseorang .

vi. Pengasingan diri

Suka menjauhkan diri daripada orang lain yang kurang disenangi. Tingkah laku ini juga dijadikan sebagai mekanisme helah bela diri untuk mengelakkan diri daripada berkomunikasi dengan orang lain.

vii. Ponteng sekolah

Perlakuan yang sengaja dibuat iaitu tidak hadir ke sekolah tanpa pengetahuan ibu bapa dengan membuang masa di tempat lain seperti pusat membeli belah atau taman permainan.

viii. Enggan ke sekolah

Enggan ke sekolah akibat daripada perasaan fobia terhadap sekolah. Kanak-kanak ini berasa bimbang untuk berpisah dengan keluarga dan bimbang meninggalkan kawasan rumahnya.

ix. Mencuri

Mengambil hak orang lain tanpa kebenaran tuannya. Tabiat mencuri barang rakan sekelas akan menyebabkan pertengkaran, pergaduhan, dan dipulaukan oleh rakan sekelas.


Punca salah laku

Tingkah laku yang ditunjukkan oleh kanak-kanak berpunca daripada faktor-faktor tertentu. Guru perlu memahami faktor-faktor yang menjadi punca masalah tingkah laku muridnya supaya menjadi panduan dalam merangka program pengurusan tingkah laku bagi murid tersebut. Roger Stancliffe (tidak bertarikh) telah menyenaraikan 9 faktor yang dikaitkan dengan masalah tingkah laku kanak-kanak.

i. persekitaran
ii. tekanan psikologikal
iii. ketakutan dan fobia
iv. peneguhan yang kurang sesuai
v. kemahiran komunikasi dan sosial yang terhad
vi. kesukaran tugasan
vii. aktiviti dan tahap rangsangan
viii. kesihatan dan perubatan
ix. jangkaan tingkah laku

Faktor persekitaran
Sesetengah kanak-kanak sangat sensitif terhadap persekitaran seperti bunyi bising, sejuk, panas, dan lain-lain. Perubahan tingkah laku akan ditunjukkan terutamanya bagi kanak-kanak yang mengalami kecacatan teruk, autisme, dan lain-lain.

Tekanan psikologi
Individu yang mengalami masalah tingkah laku obsesif dan tingkah laku yang sudah menjadi tabiatnya akan berasa senang dengan tingkah laku tersebut. Mereka akan berasa tertekan apabila kebiasaan tingkah laku itu diganggu atau dihalang.

Ketakutan dan fobia
Fobia adalah ketakutan yang keterlaluan terhadap sesuatu. Fobia termasuk juga takut terhadap sesuatu yang berbahaya seperti ular atau ketinggian yang melebihi tahap bahaya sebenar perkara tersebut. Ketakutan ini boleh menyebabkan bahaya kepada individu tersebut seperti berlari melintas jalan raya kerana takutkan anjing.

Peneguhan yang kurang sesuai
Tingkah laku bermasalah ada kalanya dikukuhkan secara tidak sengaja. Tindak balas semula jadi kita secara serta merta terhadap tingkah laku tertentu ada kalanya menjadikan tingkah laku itu lebih teruk. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak yang enggan makan ubat akan dipujuk serta dijanjikan dengan beberapa ganjaran oleh ibu dan bapanya. Oleh itu, kanak-kanak itu akan sengaja enggan makan ubat kerana mahukan perhatian daripada ibu bapanya.

Kemahiran komunikasi dan sosial yang terhad
Terdapat bukti yang jelas menunjukkan bahawa kadar tingkah laku bermasalah yang tinggi di kalangan kanak-kanak yang kurang berkomunikasi berbanding kanak-kanak yang boleh berkomunikasi dengan baik.

Kesukaran tugasan
Kesukaran tugasan boleh menyebabkan kanak-kanak melakukan kesilapan dan mengalami kegagalan. Keadaan kekecewaan ini berkait rapat dengan masalah tingkah laku yang mereka tunjukkan.

Aktiviti dan tahap rangsangan
Kekurangan aktiviti yang membina akan menyebabkan berlakunya masalah tingkah laku. Sebagai contoh, guru bukan hanya setakat memberi mainan atau buku kepada muridnya tetapi perlu mengajar murid tersebut kemahiran yang perlu untuk melakukan aktiviti tersebut.

Kesihatan dan perubatan
Kesakitan atau keadaan tertekan yang berkaitan dengan keadaan kesihatan tertentu boleh menyebabkan rasa kurang selesa dan boleh menyebabkannya berkelakuan kurang sesuai.

Jangkaan tingkah laku
Ada kalanya ibu bapa atau guru menjadi letih dengan tingkah laku kanak-kanak-kanak dan membiarkannya berkelakuan sedemikian dengan anggapan bahawa tingkah laku itu akan hilang dengan sendirinya. Jangkaan terhadap tingkah laku kanak-kanak tersebut adalah rendah daripada yang sepatutnya. Sebenarnya mereka ini terperangkap dengan anggapan bahawa itulah sifat kanak-kanak tersebut dan tidak boleh diubah lagi (the way he/she is).


TEKNIK-TEKNIK PENGURUSAN TINGKAH LAKU

Pelupusan dan peningkatan tingkah laku

Strategi pengurusan tingkah laku yang dipilih hendaklah sesuai dengan mengambil kira faktor-faktor murid tersebut seperti fizikal, emosi, mental, tahap keterukan, dan juga faktor pengaruh persekitaran, dan jangka masa pelaksanaan yang tertentu.


Strategi pengurusan tingkah laku melibatkan teknik-teknik berikut;

ganjaran (reinforcers)
Terdapat 3 jenis ganjaran iaitu;
i. ganjaran primer – makanan, minuman dll
ii. ganjaran social- senyuman, pujian dll
iii. ganjaran sekunder – token, kupon, mainan, bintang dll

dendaan (punishment)
- tahanan kelas (lambat balik) , dendaan fizikal, ambil balik token/hak

pengasingan (isolation)
- mengasingkan peneguh daripada tingkah laku yang dipilih
- asingkan murid daripada aktiviti yang disukainya

pembentukan (shaping)
- pemberian pengukuhan kepada perlakuan-perlakuan yang dilakukan oleh murid yang menjurus kepada pementukan perlakuan yang dikehendaki.

prompting
- digunakan untuk mendapatkan rangsangan tertentu yang dipilih sebagai tanda atau klu kepada murid untuk melaksanakan tingkah laku yang dikehendaki secara lisan, gerak badan (gesture) dan fizikal.

fading (pelunturan)
- mengurangkan tingkah laku atau ganjaran secara perlahan-lahan

modeling
- menggunakan watak-watak (murid,guru ) yang disukai dan dihormati untuk diteladani oleh murid

kejelakan/Kebosanan (satiation)
- membiarkan murid melakukan tingkah laku itu hingga dia jemu melakukannya dan berhenti sendiri
- “Over Correction” adalah satu teknik kejelakan.

desensitization
- tindakan-tindakan secara beransur-ansur untuk menghilangkan rasa gugup atau takut yang berlebihan takut bercakap di depan kelas, fobia dll

bimbingan dan kaunseling
- pendekatan-pendekatan kaunseling untuk membimbjng murid menghadapi atau menangani masalah tingkah laku

terapi muzik/seni
- menggunakan muzik atau seni untuk mententeramkan emosi, anxiety, dan melepaskan perasaan yang tertekan

penamatan/pelupusan (extinction)
- memberhentikan atau menyekat murid murid daripada terus melakukan tingkah laku negatif secara beransur-ansur dengan menggantikan dengan tingkah laku baru yang positif

pengasingan (time-out, suspension)
- menempatkan murid berasingan daripada kumpulan (penjuru bilik, bilik khas)
- mengeluarkan murid daripada aktiviti kumpulan

kontrak perjanjian (contigency contracting)
- persetujuan di antara dua pihak atau lebih (guru dan murid) secara lisan atau bertulis. Murid dipertanggungjawabkan terhadap perkara atau aktiviti yang dipilih. Kontrak akan berjaya jika murid faham akan tingkah laku yang hendak diubah dan murid faham akan kesan yang
akan berlaku.


LANGKAH-LANGKAH PEMBENTUKAN PROGRAM PENGURUSAN TINGKAH LAKU

Program pengurusan tingkah laku merupakan dokumen bertulis yang telah dirancang, dibina, dilaksana , dan direkod bagi meningkatkan atau mengurangkan satu-satu tingkah laku bermasalah atau luar biasa.

Langkah-langkah yang disarankan dalam program pengurusan tingkah laku ini boleh diubah suai bergantung kepada kesesuaian individu atau kumpulan murid tersebut.

Langkah-langkah pembentukan program pengurusan tingkah laku;

- memilih tingkah laku yang perlu diubah berdasarkan keutamaan
- membuat pemerhatian dan merekodkan tingkah laku tersebut
- menentukan tingkah laku sasaran yang hendak dicapai (target behaviour)
- mengenal pasti masa pelaksanaan bagi tiap peringkat
- memilih strategi dan kaedah yang perlu diguna pakai
- menentukan ganjaran dan dendaan (reinforcer and punishment)
menjalankan program
- melakukan penilaian secara berterusan atau secara berkala (periodical evaluation)
- tindakan/intervensi susulan (berhenti apabila tingkah laku sasaran dicapai
- memastikan supaya tingkah laku negatif tidak berulang dan tingkah laku yang telah dipulih (positif) dikekalkan atau ditingkatkan

Sebelum sesuatu tingkah laku dapat diurus, beberapa perkara perlu diambil perhatian terlebih dahulu,iaitu;

- Apakah jenis tingkah laku yang dapat diperhati?
- Tingkah laku yang mana satu harus diberi keutamaan?
- Bila tingkah laku itu berlaku?
- Kekerapan tingkah itu berlaku.
- Apakah punca/sebab tingkah laku itu berlaku?
- Bagaimana hendak mengurus tingkah laklu tersebut?

PERANAN GURU PEMULIHAN KHAS

PERANAN GURU PEMULIHAN

i. Sebagai Penilai ( An Assessment Role )

- Menyedia dan menjalankan ujian saringan untuk mengenal pasti murid-murid
yang memerlukan pemulihan khas.

- Menjalankan Ujian Diagnostik untuk mengenal pasti masalah pembelajaran
yang khusus yang dihadapi oleh murid-murid.

- Menjalankan penilaian berterusan dan merekodkannya dengan rapi dan
tersusun.

- Cara melaksana penilaian : Formal/Tak formal

ii. Preskriptif ( Presciptive Role )

- Merancang dan menyelia serta melaksanakan program individu bagi kanak-
kanak yang mempunyai masalah pembelajaran yang tertentu.

- Mengadakan bengkel atau demonstrasi pengajaran pemulihan di mana
keadaan memerlukan.


iii. Peranan Pengajaran (A Teaching Therapeutik)

- Mengajar dan membantu murid-murid yang lambat dan menghadapi masalah
kemahiran asas 3M.

- Mengajar bersama-sama dengan guru mata pelajaran sebagai “ team
teaching ” / “ guru pendamping ” sekiranya perlu.


iv. Peranan Khidmat Bantu ( A Supportive Role )

- Membantu guru-guru merancang dan penambahbaikkan aktiviti-aktiviti dan
bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran.

- Membimbing guru-guru melaksanakan teknik dan kaedah mengajar murid-murid yang
menghadapi masalah 3M.

v. Peranan Perhubungan ( A Liaison Role )

- Berbincang dengan ibu bapa atau penjaga murid untuk mendapatkan maklumat murid.

- Memberi cadangan kepada ibu bapa untuk membantu pembelajaran anak-anak mereka.


- Tujuan mengadakan penilaian mesti jelas

- Bersikap jujur semasa menilai

- Menilai semua dokumen awal – KIA2M sebelum pengesahan penempatan

- Ujian Pencapaian setiap 3 bulan – mengesahkan tahap penguasaan kemahiran


BIDANG TUGAS GURU PENDIDIKAN PEMULIHAN KHAS

- Menjalankan kerja-kerja pemulihan khusus untuk murid-murid lemah yang
terpilih dari Tahun 2 hingga Tahun 6. Keutamaan hendaklah diberi kepada
murid-murid Tahun 1 hingga 3.

- Membantu guru-guru asas dalam hal:

- Mengenalpasti murid-murid lemah yang memerlukan pengajaran pemulihan
sama ada di kelas biasa atau kelas khas.

- Merancang dan menyediakan aktiviti-aktiviti serta bahan-bahan pemulihan.

- Mengatur jadual waktu untuk pengajaran pemulihan khas.

- Mengajar sebagai guru pembimbing untuk membantu guru mata pelajaran asas
sekiranya keadaan memerlukan.

- Berjumpa dan berbincang dengan guru , ibubapa, doktor, pegawai
kebajikan dan pihak-pihak lain yang boleh membantu untuk mendapatkan
maklumat lanjut tentang tingkah laku, kesihatan dan keterangan lain mengenai
latar belakang murid.

- Melaksanakan penilaian dan merekodkannya secara berterusan untuk
mengetahui prestasi murid-murid yang mengikuti kelas pemulihan. Isi-isi rekod
hendaklah mengandungi:

-Laporan prestasi murid.
-Latar belakang murid.
-Laporan kesihatan murid.
-Hasil-hasil temubual dan rujukan

- Menyediakan fail diri bagi setiap murid pemulihan.
Fail diri murid mengandungi:

- Borang Pencalonan.
- Borang Latar belakang Murid Pemulihan.
- Borang Pengumpulan Maklumat.
- Ujian Saringan dan Diagnostik
- Lembaran Kerja
- Hasil Penilaian yang telah dijalankan.
- Catatan-catatan lain yang berkaitan dengan murid.

- Membentuk jawatankuasa Program Pemulihan Khas serta menjadi ahli
Jawatankuasa Kurikulum Sekolah.

- Mengadakan bengkel di peringkat sekolah atau daerah di mana keadaan
memerlukan.

- Tugas-tugas yang berkaitan dengan kebajkan murid-murid pemulihan
di sekolah.

Tugas-tugas lain:

- Membuat runding cara dengan ibu bapa / penjaga murid.
- Membuat penyediaan bahan - bahan pengajaran.
- Mengemaskinikan rekod – rekod.
- Bimbingan dan Kaunseling kepada murid.
- Runding cara dengan guru kelas / mata pelajaran tentang perkembangan murid kelas biasa.
- Runding cara dengan Guru Besar untuk meningkatkan mutu pencapaian murid.
- Mengemaskinikan sudut – sudut pameran pembelajaran.
- Sentiasa memikirkan bagaimana untuk mempertingkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di kelas pemulihan.

PENUBUHAN KELAS PEMULIHAN KHAS

PROSEDUR PENUBUHAN KELAS PEMULIHAN

Disyorkan 3 alternatif seperti berikut :

i. Sekolah-sekolah yang mempunyai 2 kelas atau lebih bagi sesuatu darjah , murid-murid untuk kelas pemulihan bolehlah diambil dari kelas-kelas tersebut sekiranya bilangan murid pemulihan dalam sesuatu kelas itu hanya 3 atau 4 orang sahaja.
Walau bagaimanapun jumlah murid dalam satu sesi pemulihan hendaklah tidak melebihi 15 orang.

ii. Sekolah-sekolah yang mempunyai satu kelas bagi satu darjah, murid-murid untuk kelas pemulihan bolehlah diambil dari darjah-darjah lain tetapi jumlahnya hendaklah tidak melebihi 15 orang.

iii. Sekiranya murid-murid yang diambil untuk mengikuti kelas pemulihan datangnya dari satu kelas sahaja, maka bilangannya hendaklah tidak melebihi 6 orang. Pemilihan mana-mana satu alternatif hendaklah tertakluk kepada perundingan di antara Guru Kelas Khas Pemulihan dengan guru besar dan guru-guru asas.

BILIK / KELAS

i. Lokasi bilik / kelas untuk dijadikan Kelas Khas Pemulihan adalah sangat bergantung kepada keadaan kemudahan yang sedia ada serta kemampuan di sesebuah sekolah. Tetapi dengan menyedari ciri-ciri kanak-kanak pemulihan, kelas-kelas lain kantin, atau padang-padang permainan boleh digunakan supaya aktiviti yang berlaku di tempat – tempat tersebut tidak akan mengganggu sesi pengajaranpemulihan.

ii. Kesesuaian seperti juga kelas-kelas biasa yang lain perlu diambil kira dari segi keselesaan ruang dengan bilangan murid, cahaya serta edaran udara yangmencukupi, kerusi dan meja serta saiz dan susunan fizikalnya yang selaras denganukuran dan bilangan murid-murid yang terlibat.

iii. Penyusunan perabot, papan tulis, papan pameran dan tempat – tempat penyimpanan perlu diubah suai sebagai dorongan kearah pengajaran yang menyeronokkan dan yang berkesan, sesuai dengan matlamat menuju ke pengkhususan 2M di sekolah rendah. Prinsip – prinsip yang terjalin dan dipraktikkan dalam penyusunan kelas seperti ini ialah suasana fizikalnya, sosial, emosi dan rasa hati yang selesa dan gembira untuk murid-murid : bidang dinamik kumpulan yang menyokong pembelajaran atau tugasan yang diberikan : dan
penyusunan perabot yang membantu rutin pengurusan.

PENTADBIRAN KELAS

Bagi mentadbirkan sesebuah kelas Pendidikan Pemulihan Khas, Guru Pemulihan Khas hendaklah menyediakan beberapa keperluan lain yang semestinya ada dalam kelas pemulihan.

i. Jadual waktu kelas / persendirian

ii. Carta alir Program Pendidikan Pemulihan Khas.

iii. Disediakan ruang – ruang pembelajaran mengikut kesesuaian dan keluasan
bilik .Di antara ruang pembelajaran yang dicadangkan ialah ruang disiplin.


PENGELOLAAN SISTEM FAIL KELAS PEMULIHAN KHAS

i. Fail Induk
Kandungan:
- Surat – surat Perhubungan Luar / Dalaman
- Carta Organisasi Kurikulum & Panitia
- Jawatankuasa Panitia
- Pekeliling – pekeliling Ikhtisas ( contoh : PP Ikh . Bil 4 /96 )


ii. Fail Sukatan Pelajaran
Kandungan:
- Sukatan Pelajaran Kelas Pemulihan Khas
- Huraian Sukatan Pelajaran Pemulihan Khas
- Rancangan Pelajaran Tahunan
- Senarai Bahan Bantu Mengajar & Kedudukannya


iii. Fail Mesyuarat
Kandungan:
- Surat – surat panggilan mesyuarat peringkat sekolah
- Buku Minit mesyuarat panitia ( sekurang – kurangnya 3 X setahun )


iv. Fail Peribadi Murid
kandungan:
• Borang pencalonan
• Borang pengumpulan maklumat
• Borang kaji selidik/ borang latarbelakang murid.
• Rekod kesihatan murid


v. Fail BM (individu)
Kandungan:
• Ipp2m / saringan
• Ujian diagnostik
• Rekod pengamatan
• Rekod pencapaian murid
• Borang skor individu


vi. Fail M3 (individu)
Kandungan:
• Ipp2m / saringan
• Ujian diagnostik
• Rekod pengamatan
• Rekod pencapaian murid
• Borang skor individu


vii. Fail Kerja Susulan
Kandungan:
• Direkod bagi murid-murid yang telah menguasai
• Lawatan
• Inventori
• Bbm/amb (buku-buku, carta, kad dan lain-lain)


iix.Fail Program Kecemerlangan
Kandungan:
• Program peningkatan atau rutin
• Lapran-lapran program


ix. Fail Analisis IPP2M
kandungan:
• analisis ipp2m


x. Fail Penyeliaan/ Pencerapan
Kandungan:
- Penyeliaan /Pemantauan Guru Besar
- Guru Penolong kanan


xi.Fail Penilaian Hasil Kerja Murid
Mengandungi:
- Jadual peperiksaan/Ujian dan Instrumen Penilaian/soalan


xii.Fail Aktiviti Kokurikulum
Kandungan:
- Surat Mesyuarat
- Senarai Aktiviti Tahunan yang dirancang
- Laporan Aktiviti yang telah dijalankan


xiii.Fail Bank Soalan
Mengandungi semua set ujian yang digunakan.


xiv. Fail Maklumat Guru Pemulihan
Mengandungi Jadual guru Pemulihan dan maklumat guru Pemulihan

Saturday, June 26, 2010

PROSES PELAKSANAAN PEMULIHAN KHAS DI SEKOLAH

Program pemulihan merupakan satu program yang bertujuan untuk membantu murid-murid yang tidak menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira. Dalam melaksanakan program tersebut ia memerlukan satu proses yang saling berkaitan di antara satu sama lain. Proses yang terlibat ialah pencalonan murid, ujian saringan, ujian diagnosik dan analisis ujian dan tindakan susulan.

• Semua sekolah rendah kecuali sekolah kecil (under enrolmen) diperuntukkan satu (1) perjawatan Guru Khas Pemulihan.
• Peruntukan Guru Khas Pemulihan tidak termasuk dalam perkiraan peruntukan guru asas (n x 1.5).
• Guru Khas Pemulihan tidak terlibat sebagai guru penganti kepada guru asas atau sebagai guru kelas sesuatu darjah.
• Guru Khas Pemulihan berkhidmat sepenuh masa melaksanakan program pendidikan pemulihan.
• program pendidikan pemulihan perlu mendapat kelulusan bertulis daripada Pengarah Pendidikan Negeri.

Pencalonan Murid

Pencalonan murid pemulihan adalah proses utama kepada pemilihan calon untuk ditempatkan di dalam program pemulihan. Pencalonan murid pemulihan boleh dilakukan oleh :

a. Guru Kelas

Guru Kelas boleh mencalonkan murid-murid untuk mengikuti kelas berdasarkan pencapaian murid dalam kemahiran asas (menulis, membaca dan mengira), hasil kerja murid dalam kelas atau keputusan ujian bulanan, semester atau ujian setiap kemahiran.

b. Guru Mata Pelajaran

Guru mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Matematik juga boleh mencalonkan murid yang diajar oleh mereka untuk mengikuti kelas pemulihan berdasarkan kepada pencapaian mereka. Apabila murid-murid ini lemah dan tidak menguasai kemahiran yang disasarkan maka mereka layak untuk dicalonkan ke kelas pemulihan.

c. Guru Besar

Guru Besar boleh mencadangkan murid-murid berdasarkan penelitian kad-kad laporan murid dan pemerhatian secara am sama ada di sekolah atau di luar sekolah.

d. Ibu bapa / penjaga

Ibu bapa atau penjaga boleh mencalonkan anak-anak mereka untuk mengikuti program pendidikan pemulihan khas berdasarkan masalah pembelajaran anak mereka

Pengumpulan Maklumat

(a) Butir-butir individu dan prestasi murid akan menolong guru pemulihan memahami murid yang dicalonkan. Ini akan membolehkan seorang guru pemulihan membuat keputusan sama ada murid itu akan mengikuti program pemulihan atau tidak.

(b) Daripada rekod individu guru pemulihan dapat tahu tentang beberapa aspek penting seperti kesihatan, taraf ekonomi keluarga dan kebudayaan di rumah yang mungkin ada hubungan dengan kegagalan murid.

(c) Kemajuan akademik dapat menunjukkan prestasi murid dalam mata pelajaran-mata pelajaran asas.

(d) Lain-lain sumber maklumat ialah :-

(i) Guru Besar boleh campurtangan berdasarkan peninjauan rekod murid, pemerhatian dan perhubungan.

(ii) Guru kelas boleh menambahkan maklumat dengan mengambil tahu berkenaan dengan kehadiran, ketepatan masa ke sekolah, kadar dan taraf kerja, kebiasaan-kebiasaan serta perhubungan dengan murid-murid lain.

(iii) Ibu bapa boleh memberitahu tentang tingkah laku umum, kegemaran dan perkara-perkara yang ia tidak gemar serta sikapnya terhadap pelajaran.

(iv) Borang rujukan yang boleh menunjukkan secara umum kelemahan
kelemahan murid.

(e) Borang Rujukan mengandungi:-
(i) kemahiran asas membaca
(ii) kemahiran asas mengira
(iii) tingkah laku di bilik darjah

Proses Saringan

Fungsi Ujian Saringan:
. Ujian saringan ialah satu instrumen pengukuran yang menyeluruh terhadap kekuatan dan kelemahan dalam penguasaan kemahiran-kemahiran asas oleh murid secara individu untuk dicalonkan bagi mengikuti Program Pemulihan Khas. Ujian ini dapat mengesan murid-murid yang lemah dan memerlukan bantuan pemulihan khas. Dengan lain perkataan Ujian Saringan bertujuan untuk menentukan calon yang layak untuk dimasukkan ke program pemulihan khas

Bahan atau topik dalam Ujian Saringan merangkumi hanya kerja-kerja yang telah diajar oleh guru kelas sehingga masa saringan diberikan. Oleh itu senarai kemahiran yang diuji hendaklah ditentukan dan direkodkan dalam Jadual Penentu Ujian.

Ujian boleh dijalankan apabila pencalonan diterima. Selain daripada itu ujian akan dilaksanakan secara individu atau kumpulan kecil. Hasil daripada ujian akan direkodkan dalam Borang Rekod Ujian untuk difailkan
Bilangan murid yang diterima masuk ke kelas Pemulihan Khas berdasarkan beberapa faktor antaranya ialah :

a. Skor yang lemah.
b. Jenis masalah yang dihadapi oleh murid.
c. Ruang yang ada untuk Kelas Pemulihan Khas.


Proses Diagnosis

Ujian diagnostik adalah Ujian yang terpenting dalam Program Pendidikan Pemulihan Khas. Ujian ini digunakan untuk membantu guru pemulihan khas mengsan daerah-daerah kelemahan dan kekuatan yang dihadapi oleh setiap murid.

Fungsi Ujian Diagnostik.
Ujian Diagnostik wajib dijalankan dengan tujuan untuk membantu GPK mengesan kawasan-kawasan kelemahan dan kekuatan yang dihadapi oleh seseorang murid secara khusus dan seterusnya membentuk objektif pengajaran (baseline). Ujian ini dibentuk bukan untuk menilai peringkat pencapaian tetapi untuk mengesan masalah-masalah yang dialami ketika belajar dan mengnal pasti punca kegagalan murid dalam menguasai sesuatu kemahiran.

Instrumen Ujian Diagnostik.
Sebagai panduan untuk membina dan mentadbir Ujian Diagnostik, Guru Pemulihan Khas boleh merujuk Buku Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas (Masalah Penguasaan 3M) terbitan Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia (2000).


Analisa Ujian Diagnostik dan Pengamatan

Penganalisaan keputusan hendaklah dikumpul dan direkodkan dan diberi intepretasi dengan cermat untuk mempastikan masalah-masalah murid. Keputusan analisa ujian diagnostik akan menunjukkan daerah-daerah kelemahan dan kekuatan seseorang murid dalam menguasai sesuatu kemahiran. Cara ini dapat membantuguru mengenal pasti kumpulan tertentu mengikut kebolehan dan daerah-daerah kesukaran yang dihadapi.

Analisa kesalahan ujian tersebut juga dapat membantu guru merancang satu program pengajaran yang khusus kepada seseorang individu atau kepada satu kumpulan dengan lebih tepat dan sistematik. Berdasarkan kepada analisa kesalahan ujian diagnostik tersebut , guru pemulihan akan dapat mengenal pasti daerah-daerah kelemahan murid yang telah dipilih. Daerah-daerah kelemahan itu akan membantu guru untuk memilih kemahiran yang tepat untuk memulakan proses pengajaran dan pembelajaran.


Tindakan Susulan

Murid yang telah dapat menguasai kemahiran yang telah dipulihkan akan menjalankan kerja susulan yang dijalankan oleh guru kelas biasa dengan bantuan dan kerjasama dari Guru Pemulihan Khas apabila perlu. Guru kelas, guru mata pelajaran dan guru pemulihan perlu saling bekerjasama di antara satu sama lain bagi mengukuhkan kemahiran yang telah dikuasai oleh murid pemulihan.

Murid pemulihan yang berjaya menguasai kemahiran akan ditempatkan semula ke kelas biasa untuk mengikuti proses pembelajaran seterusnya.. Mereka akan sentiasa dipantau oleh guru pemulihan ketika berada di kelas biasa. Tujuannya ialah untuk melihat perkembangan pelajar tersebut disamping membantu guru di kelas biasa dalam proses pngajaran mereka. Jika terdapat masalah terhadap murid tersebut, maka guru pemulihan akan bertindak segera untuk menyelesaikannya.

KONSEP PEMULIHAN KHAS

Dalam proses pendidikan, Pendidikan Pemulihan Khas ialah:

“Suatu perkhidmatan yang diadakan khusus untuk murid-murid yang menghadapi kesulitan pembelajaraan khususnya dalam menguasai satu-satu kemahiran membaca, menulis dan mengira sebagai kemahiran asas yang menjadi fokus KBSR”.

“ Pendidikan Pemulihan ialah tindakan-tindakan pendidikan khas yang digunakan untuk memenuhi keperluan-keperluan kanak-kanak yang menghadapi kesulitan pembelajaran, kanak-kanak pemulihan menghadiri kelas khas dalam sekolah biasa, atau pusat pemulihan khas secara sambilan, atau menyertai kumpulan yang diundurkan dari kelas biasa untuk diajar oleh seorang guru pemulihan.”
(National Association for Remedial Education ‘NARE’ Great Britain - 1977)

“ Pemulihan dalam KBSR ialah proses pengajaran dan pembelajaran yang khusus untuk murid-murid yang menghadapi masalah atau kesukaran belajar dalam menguasai satu-satu kemahiran membaca, menulis dan mengira”.
(Panduan Am KBSR - 1982)

KANAK-KANAK PEMULIHAN KHAS

“ … kanak-kanak pemulihan adalah kanak-kanak yang mempunyai intelek dan kecerdasan yang rendah dan kuarang kebolehan menerima pendidikan biasa.”
(A.E. Tansley dan Gulliford)

“ … kanak-kanak pemulihan ialah kanak-kanak yang kurang daya taakul, kurang kemampuan membuat sesuatu keputusan atau kesimpulan dan kurang memahami tentang perkara-perkara yang abstrak”.
(M.F. Clough)

“ Pendidikan Pemulihan di Malaysia ialah untuk murid-murid yang gagal menerima pelajaran dan mereka ini berkemungkinan mempunyai kecerdasan yang tinggi, sederhana dan yang di bawah sederhana”.
(Sharifah Rahmah Ali)

DASAR PELAJARAN KEBANGSAAN 1979 - Pemulihan Khas Di Sekolah

Laporan Jawatankuasa Kabinet Perlaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan 1979 :
(PERAKUAN 5)


“ Adalah diperlukan supaya perkara-perkara yang berkaitan dengan langkah-langkah mengadakan pengajaran pemulihan selepas daripada Ujian Rujukan Kriteria dijalankan, diteliti dan diperbaiki. Antara lain perkara-perkara tersebut termasuklah mendalami kaedah dan pengajaran, bahan-bahan yang lebih kecil, peruntukan guru bagi mengendalikan pengajaran pemulihan serta penggunaan bahan-bahan tertentu ”

Surat Pekeliling Kementerian Pelajaran:

• Surat pekeliling Bahagian Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia, Bil. KP(BS)8691/Jld.II/32 bertarikh 22 Januari 1985.
“Guru Khas Pendidikan Pemulihan”.

• Surat pekeliling Bahagian Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia, Bil. KP(BS)8502/5/PK/Jld.V/26 bertarikh 18 Januari 1986.
“Kelas Khas Pemulihan Di Sekolah-Sekolah Rendah 1986”.

• Surat pekeliling Bahagian Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia, Bil. KP(BS)85021/5/PK/Jld.V/(34) bertarikh 30 Jun 1989.
“Guru Khas Pemulihan dan Penubuhan Kelas Khas Pemulihan di Sekolah-Sekolah Rendah”.

SEJARAH RINGKAS PEMULIHAN KHAS DI MALAYSIA

Bermula pada tahun 1965 apabila 3 orang guru yang mendapat latihan di England kembali berkhidmat. Sehingga 1968, seramai 9 orang guru telah mendapat latihan diluar negara. Program pendidikan pemulihan di Malaysia bermula sebagai “Pilot Projek” di sembilan buah Sekolah Rendah di seluruh Malaysia. Projek ini telah bermula di awal tahun 1967 dan berakhir pada tahun 1970. dari kajian yang dijalankan terhadap sekolah-sekolah tersebut didapati Program Pendidikan Pemulihan sangatlahdiperlukan bagi membantu kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran.

Dalam tahun 1968 hingga 1974 kerajaan telah membekukan pengambilan guru-guru berkursus di bidang Pendidikan Pemulihan. Berdasarkan Laporan Murad 1971, didapati 25% murid-murid sekolah rendah telah tercicir. Kesedaran kerajaan terhadap peratusan keciciran murid-murid di sekolah-sekolah rendah menguasai kemahiran-kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira menyebabkan kerajaan mengambil langkah-langkah awal yang positif Laporan Murad dari tahun 1971 hingga 1973 telah menyedarkan semula kerajaan akan pentingnya Program Pendidikan Pemulihan. Pada tahun 1975 seminar yang pertama telah diadakan di Universiti Malaya

Disamping itu juga dalam tahun 1975, Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kementerian Pendidikan Malaysia telah menjalankan projek percubaan dalam Pendidikan Imbuhan untuk Sekolah Rendah Bawah di dua belas buah sekolah dengan menggunakan strategi pendidikan pemulihan dijalankan oleh guru kelas biasa. Murid-murid yang terlibat dalam projek ini ialah mereka yang menghadapi masalah pembelajaran ringan dalam Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Inggeris. Murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran yang kompleks diserahkan kepada guru pemulihan khas.

Pada tahun yang sama Kementerian Pendidikan Malaysia mengadakan Kursus Dalam Cuti (KDC). Peserta-peserta kursus adalah terdiri dari guru-guru terlatih dari sekolah-sekolah rendah. Jawatankuasa kursus adalah seperti berikut :-

i. 2 minggu dalam cuti penggal pertama
ii. 2 minggu dalam cuti penggal kedua
iii. 4 minggu dalam cuti penggal ketiga

Adalah menjadi matlamat utama kerajaan dibawah pengelolaan Jabatan Pendidikan Malaysia untuk menyediakan setiap sekolah rendah dengan guru pemulihan yang terlatih. Ekoran dari itu beberapa Maktab Perguruan di seluruh negara telah menyediakan kursus tersebut.

Pada tahun 1977 kursus satu tahun telah dijalankan di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur. Pada tahun 1981 Kementerian telah mengadakan kursus dalam cuti penggal persekolahan hingga sekarang. Kursus-kursus jangka pendek juga diperkenalkan untuk menampung kekurangan guru-guru pemulihan yang mempunyai latihan khas jangka pendek.