Pages

Saturday, December 17, 2011

Ringkasan Kaedah Membaca

Kaedah membaca yang saya upload ini  ringkas sahaja. Harap dapat membantu anda walau sedikit cuma... Cikgu Cam

Kaedah Membaca (Kaedah Seluruh/Pandang dan Sebut)

Kadah Seluruh / Pandang Dan Sebut


Kaedah seluruh kata sangat popular dalam mengajar bacaan dalam Bahasa Inggeris, namun guru boleh mencuba kaedah ini untuk mengajar membaca dalam bahasa Melayu. Kaedah ini juga disebut sebagai Kaedah Pandang dan Sebut.
                  
Melalui kaedah ini, pengajaran membaca adalah berdasarkan perkataan-perkataan yang biasa diguna seharian yang  membentuk kebanyakan  pertuturan kita seperti saya, minum, kopi, sepak, bola emak, bapa, adik, abang, kawan, dan sebagainya.  

Guru akan memperkenalkan beberapa perkataan dahulu dan  menyebutnya berulang-ulang. Kebiasaannya perkataan tersebut disertakan gambar dan murid belajar secara pandang (visual) dan mengecam perkataan.  Kaedah ini tidak menggunakan aktiviti mengeja  sama sekali.

Sekiranya murid tidak dapat  menyebut perkataan tertentu, guru digalakkan menggunakan  fonik atau bunyi huruf, iaitu menghubungkan satu huruf dengan satu bunyi untuk membantu murid menyebut perkataan tersebut.  Misalnya bagi perkataan ”rumah”, guru boleh membantu murid dengan menyebut bunyi huruf ”r”,  iaitu [ r ] dan kalau perlu membunyikan suku kata [ ru ]

Dasar kaedah ini ialah menggunakan perkataan dari mulanya tanpa mengenalkan dan menghafalkan huruf-huruf abjad terlebih dahulu. Perkataan-perkataan yang diperkenalkan itu disertakan dengan gambar. Kaedah ini mementingkan bunyi perkataan atau rangkai kata berdasarkan pengalaman melalui gambar dan bunyi ayat atau cerita berdasarkan gambar.

Kanak-kanak dilatih melakukan dua kemahiran dalam satu masa, iaitu menyebut keseluruhan perkataan dan melakukan pengesanan terhadap rangsangan berbentuk gambar. Guru kerap kali menunjukkan seluruh perkataan seiring dengan gambar-gambar yang dilambangkannya. Contohnya, perkataan “bunga” ditulis di tepi atau di bawah gambar bunga. Kadang-kadang ini boleh digunakan sebagai kad-kad imbasan.

Kaedah Membaca (Kaedah Abjad)

Kaedah Abjad


Menurut Azman Wan Chik (1993), kaedah abjad dianggap sebagai kaedah nama-nama huruf yang digunakan di dalam tulisan Melayu, iaitu huruf a hingga z. Kaedah ini merupakan kaedah yang paling biasa digunakan dalam mengajar mengeja dan membaca perkataan. Murid-murid diajar menghafal nama-nama huruf secara mengikut turutan bermula dari a hingga z. Kemudian kanak-kanak diajar mengenali huruf-huruf vokal a, e, i, o, u, huruf-huruf konsonan, dan diftong ai, au, oi.  Selepas itu, huruf-huruf ini digabungkan bagi membentuk suku kata dan seterusnya perkataan.

Contoh:   Memperkenalkan huruf a - z
1.                    Memperkenalkan huruf vokal a, e, i, o, u
2.                    Menggabungkan huruf konsonan dan vokal  -  ba, be, bi, bo,  bu
3.                    Membentuk perkataan daripada suku kata -  ba + ju           baju
4.                    Membina rangkai kata – baju biru
5.                    Membina ayat mudah – Ini baju biru Abu

Kekuatan kaedah ini adalah kerana sesuai dengan binaan perkataan bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya.  Kaedah ini juga membolehkan kanak-kanak mengeja perkataan-perkataan baharu yang belum dipelajarinya.  Selain itu, kaedah ini memberi asas yang kukuh dalam kemahiran membaca.
Teknik pengajaran boleh juga dimulakan dengan guru menunjukkan kad abjad kepada murid dan guru menyebut terlebih dahulu abjad-abjad tersebut untuk memperkenalkannya kepada murid. Kemudian, sekali lagi guru menunjukkan kad-kad abjad tersebut dan meminta murid untuk mengenal pasti dan menyebut abjad-abjad yang ditunjukkan dengan bantuan guru.

Guru membetulkan setiap kesilapan sebutan murid sewaktu kad-kad abjad ditunjukkan. Proses ini diulang sehingga murid mampu mengenal pasti dan menulis abjad-abjad yang telah diajar. Seterusnya, guru melekatkan kad-kad abjad tersebut di papan hitam. Guru akan memilih murid secara rawak dan meminta murid tersebut mengambil kad pada papan tulis berdasarkan apa yang disebut oleh guru. Selepas itu, murid diminta membuat latihan bertulis dalam buku masing-masing. Guru akan menyebut abjad manakala murid perlu mendengar dengan teliti dan menulisnya dalam buku.