Pages

Saturday, December 17, 2011

Kaedah Membaca (Kaedah Bunyi/Fonik)

Kaedah Bunyi Fonik


Kaedah fonik adalah antara kaedah mengajar bacaan yang digemari oleh guru.  Kaedah ini menekankan tentang hubungan bunyi-bunyi dengan huruf-hurufnya.  Kaedah bunyi sesuai digunakan kerana susuk bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya.

Menurut kaedah fonik, hanya bunyi huruf yang diperkenalkan terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan membunyikan suku kata dan seterusnya membunyikan perkataan.

Dalam bidang fonetik,  huruf  tidak dieja tetapi  terus dibunyikan. Contohnya huruf ‘a’ disebut sebagai [ a ], dan begitulah bagi huruf-huruf dan suku kata  yang lain. Sebagai contoh, ‘ba’ +  ‘ta’ terus disebut sebagai  [ ba ] + [ ta ] dan seterusnya disebut sebagai 
 [ bata ].

[ beh ]  +  [ a ]  =  [ ba ]
[ teh  ]  +  [ a ]  =  [ ta ]
[ beh  + a = ba] +  [teh + a = ta ]  =  [ bata ]

Kanak-kanak seawal usia tiga tahun dapat mengecam dan membezakan bunyi-bunyi dan bentuk-bentuk. Oleh itu, dengan teknik yang betul anak-anak dapat mengenal bunyi dan mengaitkan bunyi tersebut dengan bentuk huruf yang ditunjukkan dengan cepat.
Anak-anak dapat menyebut bunyi ‘aa’ apabila melihat huruf ‘a’ (nama huruf ‘ei’) dan bunyi ‘ii’ apabila melihat huruf ‘e’. Sehubungan itu, apabila anak-anak melihat perkataan ‘ani’, dia akan menyebut bunyi ‘aa’ ‘nn’ ‘ii’     ( bunyi ani) bukannya ‘ei’ ‘en’ ‘ai’ (bunyi enai).

Beberapa teknik mengajar bunyi boleh dilakukan oleh ibu bapa tetapi kaedah asosiasi adalah yang terbaik. Melalui kaedah asosiasi, bunyi ‘aa’ tersebut boleh dikaitkan dengan aksi terkena api. Jadi buat aksi orang terkena api sambil menjerit ‘aaa... panasnya!’ Melalui asosiasi ini anak dapat mengingat dan menyebut bunyi dengan lebih berkesan, cepat dan berkekalan. 

Guru tidak perlu memperkenalkan semua bunyi sekaligus cukup sekadar beberapa bunyi asas terlebih dahulu. Sila dapatkan siri cepat membaca ’Bacalah Anakku’ yang telah disusun secara sistematik dalam pemilihan bunyi-bunyi huruf yang sesuai terlebih dahulu. Dengan mengikut susunan siri ini, anak dapat menguasai bunyi dengan lebih teratur dan berkesan. Oleh sebab laras bahasa Melayu terbina daripada gabungan huruf konsonan dengan huruf vokal ‘a’ ‘i’ dan ‘u’ lebih kerap, wajarlah bunyi-bunyi ‘a i u’ diperkenalkan terlebih dahulu. Lebih-lebih lagi bunyi-bunyi ini lebih senang disebut oleh kanak-kanak. Seterusnya bunyi-bunyi konsonan lain diperkenalkan satu persatu , contohnya ‘b’ ‘n’ ‘m’ ‘s’ dan ‘k’.

Seterusnya, dengan berpandukan siri cepat membaca ’Bacalah Anakku’, ajar anak-anak membaca gabungan huruf konsonan dan vokal yang diajarkan , contohnya ‘b’ dan ‘a’ ‘i’ dan ‘u’ untuk membaca ‘ba’ ‘bi’ dan ‘bu’. Melalui kaedah fonetik, anak-anak tidak akan mengeja ‘ba’ menjadi “ba” ; tidak juga menghafal suku kata ‘ba’; tetapi mereka membaca dengan menggabung-gabungkan bunyi ‘beh’ (bagi huruf ‘b’) dan ‘aa’ (bagi huruf ‘a’).


1 comment: