Pages

Saturday, November 19, 2011

KEMAHIRAN MEMBACA


 KEMAHIRAN MEMBACA

  Definisi dan Konsep Membaca

Definisi Membaca

Menurut Frank Smith (1971), dalam Zainal Kassan dan Suhaila Abdullah (2010), membaca adalah satu operasi psycholinousitic. Bacaan juga merupakan satu langkah lanjutan dalam perkembangan pembelajaran bahasa dan memproses perkembangan yang diterima. Atan Long (1976) mendefinisikan membaca sebagai proses kebalikan daripada proses menulis kepada proses mentafsirkan kembali lambang-lambang bertulis dan mendapatkan makna atau buah fikiran daripada bahan bertulis itu. Menurut Abu Basar (1981) pula, membaca didefinisikan sebagai gabungan proses menyuarakan lambang-lambang tulisan, mengamati serta memahamkan kandungannya. Menurut John Everatt dalam Mastuti Isa (2008), membaca ialah pentafsiran perkataan dan pemahaman bahasa.

Kesimpulannya, membaca merupakan proses memindahkan lambang-lambang bertulis kepada suara, memahami makna-makna yang terkandung di dalamnya serta mengaitkan makna-makna tersebut dengan pengalaman sedia ada murid.

Konsep Membaca

Menurut Kamarudin Hj. Husin (248: 1998), mengikut fahaman dahulu, membaca ialah semata-mata memindahkan tulisan kepada suara. Seseorang murid yang boleh menyuarakan tulisan dengan lancar adalah dianggap pandai membaca walaupun isi bacaan itu tidak difahaminya. Oleh itu, pelajaran membaca sentiasa dijalankan dengan cara membaca kuat dan perhatian ditumpukan semata-mata kepada suara, kelancaran, dan sebutan murid itu. Soal memahami isi bacaan tidak dihiraukan kerana murid itu membaca mengikut bahasanya sendiri. Mengikut fahaman sekarang, membaca itu bukanlah bermakna memindahkan tulisan kepada suara sahaja bahkan menangkap makna dan memahami apa yang dibaca. Seseorang murid yang boleh memindahkan tulisan kepada suara, walau bagaimana lancar sekalipun, jika tidak memahami apa yang disuarakan maka murid itu tidaklah boleh dikira pandai membaca. Memahami isi bacaan adalah tujuan yang berjalan serentak dengan kelancaran membaca.

Kesediaan Membaca

Definisi Kesediaan Membaca

Situasi yang wujud dalam diri seseorang individu yang memungkinkannya untuk belajar atau mungkin melibatkan ciri-ciri yang menghalang pembelajarannya.
Konsep Kesediaan Membaca

Kemampuan seseorang untuk menerima pengajaran dari segi mental, emosi, dan fizikal. Mengikut Bruner (1966), kesediaan belajar merujuk pada apa jua perkara yang dapat disampaikan secara berkesan kepada kanak-kanak pada bila-bila peringkat perkembangan.

Piaget (1966), mengaitkan kesediaan belajar dengan peringkat pembelajaran mengikut perkembangan kognitif kanak-kanak, iaitu peringkat deria motor (0-2 tahun), peringkat praoperasi (2-6 tahun), peringkat operasi konkrit (7-12 tahun), dan peringkat operasi formal (selepas 12 tahun).

Secara luas, kesediaan membaca melibatkan sebarang aktiviti sebelum sesuatu peringkat bacaan dimulakan, sama ada pada peringkat mendirikan asas, mengukuhkan asas mahupun peringkat-peringkat lain yang lebih tinggi.

Secara khusus, iaitu untuk kanak-kanak yang belum didedahkan dengan sebarang aktiviti bacaan, kesediaan membaca merangkumi kebolehan fizikal, emosi, dan mentalnya untuk menerima pengajaran bacaan asas.

Faktor-faktor yang Mempengaruhi Kesediaan Membaca

Kematangan
 Kematangan ialah salah satu daripada faktor kesediaan pembelajaran. Kematangan boleh merupakan kematangan fizikal, kematangan intelek, kematangan sosial, dan kematangan emosi. Kesemua sifat ini memang sedia ada di dalam diri setiap pelajar dan merupakan faktor-faktor asas yang mempengaruhi proses pembelajarannya.

Pengalaman
 Kesediaan murid untuk belajar di sekolah bukan sahaja bergantung pada kematangan, tetapi juga jenis pengalaman pendidikan. Pengalaman yang disusun rapi dapat menolong kanak-kanak mempunyai kesediaan yang teratur dalam mata pelajaran tertentu.

 
Persekitaran
 Persekitaran yang intelektual yang memberi pengalaman bermakna akan dapat merangsang otak dan menimbulkan minat membaca. Sebagai contoh, kanak-kanak yang terdedah pada pelbagai jenis bahan bacaan sejak lahir, sentiasa melihat orang di sekeliling membaca, dan ada pula orang yang membacakan buku cerita untuknya akan lebih cepat bersedia membaca berbanding dengan kanak-kanak sebayanya yang tidak mendapat peluang yang sama.

Keadaan Fizikal
 Keadaan fizikal merujuk pada keadaan mata, telinga, dan organ pertuturan yang sempurna.

Emosi, Motivasi, dan Sahsiah
 Keadaan rumah tangga dan cara asuhan akan mempengaruhi perkembangan emosi, motivasi, dan sahsiah kanak-kanak. Dorongan yang diberikan oleh ibu bapa boleh mempengaruhi sikap membaca kanak-kanak.

Kecerdasan
 Kecerdasan dan perkembangan kognitif sangat mempengaruhi kemahiran membaca kanak-kanak. Kanak-kanak yang cerdas akan dapat menguasai kemahiran membaca dengan lebih cepat berbanding dengan kanak-kanak lain yang sebaya dengannya.

 
Pengamatan
 Kemahiran membaca memerlukan keupayaan pengamatan yang kuat, iaitu daya diskriminasi penglihatan dan pendengaran. Semasa membaca, kanak-kanak perlu mendiskriminasi huruf dan juga mendiskriminasi bunyi-bunyi huruf.

Penguasaan Bahasa
 Kanak-kanak yang menguasai bahasa dengan baik akan dapat belajar kemahiran membaca dengan cepat dan dapat membaca dengan baik kerana bahasa adalah alat manusia melahirkan fikiran, perasaan, kehendak, dan sebagainya semasa berkomunikasi.
Faktor-faktor yang Mempengaruhi Kemahiran Membaca


Kognitif

Kecerdasan dan perkembangan kognitif kanak-kanak sangat mempengaruhi kemahiran membaca kanak-kanak. Kanak-kanak yang cerdas akan dapat menguasai kemahiran membaca dengan lebih cepat berbanding dengan kanak-kanak lain yang sebaya dengannya.

Kemahiran membaca memerlukan keupayaan pengamatan yang kuat, iaitu daya diskriminasi penglihatan dan diskriminasi pendengaran. Semasa membaca kanak-kanak perlu mendiskriminasi huruf dan juga mendiskriminasi bunyi-bunyi huruf. Oleh itu, kanak-kanak yang lebih mahir dalam bahasa dapat mempengaruhi kemahiran membacanya.

Kanak-kanak yang menguasai bahasa dengan baik akan dapat belajar kemahiran membaca dengan cepat dan dapat membaca dengan baik kerana bahasa adalah alat manusia melahirkan fikiran, perasaan, kehendak, dan sebagainya semasa berkomunikasi.
 


 
Persekitaran
Persekitaran yang intelektual yang memberi pengalaman-pengalaman bermakna akan dapat merangsang otak dan menimbulkan minat membaca serta meningkatkan kemahiran membaca mereka. Misalnya mendengar cerita, lawatan ke perpustakaan atau ke kedai buku, ibu bapa yang kerap berbual dengan anak mereka, dan sebagainya.
Keadaan rumah tangga dan cara asuhan akan mempengaruhi perkembangan emosi, motivasi, dan sahsiah kanak-kanak. Dorongan yang diberikan oleh ibu bapa boleh mempengaruhi sikap membaca kanak-kanak. Dengan ini, secara tidak langsung mempengaruhi kemahiran membaca kanak-kanak.
Persekitaran rumah banyak memainkan peranan dalam menguasai  kemahiran membaca. Ini termasuklah tahap pendidikan ibu bapa, kegiatan sosio budaya, pendapatan, kestabilan sosioekonomi, corak interaksi, dan komunikasi ke atas pembelajaran.
Ahli keluarga khususnya ibu bapa dan adik-beradik yang lebih tua merupakan role model dalam membina tingkah laku, tabiat dan sikap suka membaca dalam kalangan kanak-kanak. Oleh itu, rumah yang diisi dengan majalah, surat khabar dan buku mempunyai dorongan untuk meningkatkan kemahiran membaca anak-anak.
Persekitaran sekolah juga boleh mempengaruhi kebolehan membaca kanak-kanak. Sekolah yang menyediakan persekitaran yang sesuai bagi membaca boleh memberikan kesan psikologi kepada pelajar supaya gemar membaca dan meningkatkan kemahiran membaca.
Peranan guru dalam mengendalikan bilik darjah banyak mempengaruhi kemahiran membaca murid, termasuklah :
a.            Pemilihan bahan
b.            Jenis soalan yang ditanya
c.            Jenis maklum balas yang diberi
d.            Suasana pembelajaran
e.            Dorongan
f.             Pengukuhan yang digunakan.
Apabila bahan bacaan yang dibaca oleh pelajar menarik minatnya, ini memberikan respon yang positif dan mudah baginya memberikan tindak balas. Dengan ini, mereka dapat menguasai kemahiran membaca.

  Budaya
Budaya dikaitkan dengan tingkah laku dan kebudayaan yang dihasilkan oleh kumpulan budaya itu seperti seni, bahasa, muzik, makanan, aktiviti membaca, dan sebagainya.
Pihak sekolah yang menitikberatkan budaya membaca dapat mempengaruhi kemahiran membaca murid-murid. Budaya ini diamalkan oleh setiap guru dan murid agar peningkatan berlaku. Misalnya, setiap hari pada waktu 10 minit sebelum kelas bermula, guru mengalakkan murid membaca bahan bacaan dan semakin lama budaya ini boleh mempengaruhi kemahiran membaca murid.

Sosioekonomi

Sosioekonomi lebih ditujukan kepada tanggungjawab ibu bapa. Pendapatan ibu bapa berkait rapat dengan pembelajaran kanak-kanak termasuklah kemahiran membaca mereka.

Sememangnya, keluarga yang lebih berpendapatan boleh menyediakan kemudahan yang mencukupi untuk meningkatkan kemahiran membaca anak mereka. Misalnya, memberi tuisyen, membeli buku rujukan, membeli alat elektronik yang mengajar pembacaan, prasarana dan suasana yang selesa untuk membaca, dan seumpamanya. Semua ini dapat meningkatkan kemahiran membaca anak-anak.

2 comments:

  1. Bagus info2 dlm blog ni. Saya cg pkhas. Saya mohon copy dr info2 dlm blog ni. Harap dihalalkan

    ReplyDelete
  2. sila...sila..sila.. saya kongsikan mana yang ada jak..

    ReplyDelete