Pages

Sunday, July 25, 2010

PENGAMATAN

Pengenalan


Pengamatan ialah satu corak gambaran atau pengertian yang tersirat dalam fikiran seseorang apabila dia menggunakan pancainderanya setelah tertarik dengan rangsangan dari luar. Apabila seseorang melihat perkataan “API” pada timba yang berwarna merah, dia tahu di dalamnya terdapat pasir atau air untuk memadamkan api. Tidak ada sesiapa pun yang akan menghampiri timba tersebut untuk menyalakan rokoknya kerana sangkaannya bahawa terdapat api di dalam timba itu. Bolehlah dikatakan bahawa pandangan, pendengaran, sentuhan, pembauan dan rasa mungkin sama tetapi pengamatan yang dihasilkan adalah berbeza bagi individu.

Kemahiran pengamatan ini akan menentukan daya sensitiviti kanak-kanak terhadap persekitarannya. Keupayaan mereka untuk mendiskriminasikan sesuatu objek atau perkara yang ada dipersekitaran bergantung juga kepada kemahiran pengamatan yang dikuasai.

Definisi:

Pengamatan ialah kefahaman terhadap sesuatu perkara atau situasi melalui sensori atau deria. Ianya berkait rapat dengan pemikiran manusia dengan memberikan makna melalui pengalaman-pengalaman yang dilalui oleh seseorang individu. Oleh itu pada asasnya kemahiran ini boleh dikembangkan dan dipelajari. Beberapa definisi akan menjelaskan lagi kefahaman anda tentang apa yang dimaksudkan dengan pengamatan.


i. Mengikut pendapat Ruth Strang dalam bukunya “Reading Diagnosis and Remediation” beliau mengatakan pengamatan ialah satu proses yang bergantung kepada kognitif dan kederaan. Proses ini penting kepada pembelajaran terutama dalam pembinaan konsep yang dialami oleh kanak-kanak.

ii. Janet W. Learner (1971) dalam bukunya “ Children With Learning Disabilities” telah mentafsirkan bahawa pengamatan adalah satu proses untuk mengenal maklumat daripada tindak balas panca indera atau mekanisme yang mentafsirkan sesuatu pergerakan panca indera dengan kuasa intelek.

iii. Jabatan Pendidikan Khas, KPM dalam buku Panduan Program Pemulihan Khas (1999) mendefinisikan pengamatan sebagai:- Satu istilah psikologi yang digunakan berkaitan dengan kefahaman yang tepat mengenai objek-objek dan persekitarannya, situasi dan kejadian-kejadian di mana punca pancaindera fisiologikal dan neurologikal memainkan peranan yang penting. Pengamatan adalah satu proses yang menimbulkan makna kepada tugas-tugas pancaindera dengan pertolongan pengalaman-pengalaman iaitu pengamatan dan ini berhubung rapat dengan pemikiran.


Konsep Pengamatan

i. Pengamatan ialah kefahaman terhadap sesuatu perkara atau situasi melalui pancaindera setelah berlakunya proses dalam mental.

ii. Pengamatan berkait rapat dengan pemikiran manusia. Pengamatan merupakan satu proses yang menimbulkan makna kepada tugas-tugas panca indera dengan pertolongan pengalaman-pengalaman lalu.

iii. Pengamatan ialah satu kemahiran yang boleh berkembang dan dipelajari. Sungguhpun ia berkait rapat dengan dengan darjah kecerdasan seseorang kanak-kanak itu, tetapi ia boleh diajar kepada kanak-kanak lemah supaya dapat membantu mereka dalam pembelajaran.

No comments:

Post a Comment