Pages

Sunday, June 27, 2010

PENGURUSAN TINGKAH LAKU

JENIS-JENIS TINGKAH LAKU BERMASALAH

Secara umumnya, tingkah laku bermasalah dapat dikategorikan kepada tingkah laku bermasalah positif dan tingkah laku bermasalah negatif.

A. Tingkah laku bermasalah positif

Tingkah laku bermasalah positif bermaksud tingkah laku positif yang ditunjukkan oleh kanak-kanak tetapi tingkah laku itu akan menjadi bermasalah sekiranya dilakukan secara berlebihan atau tanpa kawalan dan boleh menimbulkan masalah kepadanya. Misalnya, sifat ingin tahu yang berlebihan kepada seorang kanak-kanak boleh menyebabkannya bertindak keterlaluan sehingga menyusahkan dirinya dan orang lain.


B. Tingkah laku bermasalah negatif

Tingkah laku bermasalah negatif adalah jelas iaitu tingkah laku yang menimbulkan masalah kepada dirinya dan juga orang lain. Beberapa contoh tingkah laku bermasalah negatif adalah seperti berikut:

i. Tingkah laku Disruptif/mengganggu

Perlakuan sentiasa mengganggu perjalanan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Tingkah laku ini juga berlaku di luar kelas dan juga di rumah.

ii. Pergantungan berlebihan

Kanak-kanak yang sangat bergantung kepada orang lain, tidak dapat berdikari, dan tidak berupaya membuat keputusan sendiri.Contohnya tidak mahu hadir ke sekolah tanpa ditemani ibu. Kadangkala ada ibu yang terpaksa duduk di luar kelas.

iii. Agresif

Tingkah laku agesif adalah seperti suka memulakan pergaduhan, suka bergaduh, suka memaki hamun, dan sebagainya.

iv. Distruktif/merosakkan

Perlakuan yang suka merosakkan benda seperti kerusi meja, barangan kawan sekelas, mengoyak poster atau notis di papan kenyataan dan sebagainya.

v. Kebimbangan

Perasaan kurang senang atau takut akibat anggapan bahawa sesuatu yang tidak diingini akan berlaku. Keadaan ini akibat daripada pengalaman emosi yang tidak menggembirakan yang dialami oleh seseorang .

vi. Pengasingan diri

Suka menjauhkan diri daripada orang lain yang kurang disenangi. Tingkah laku ini juga dijadikan sebagai mekanisme helah bela diri untuk mengelakkan diri daripada berkomunikasi dengan orang lain.

vii. Ponteng sekolah

Perlakuan yang sengaja dibuat iaitu tidak hadir ke sekolah tanpa pengetahuan ibu bapa dengan membuang masa di tempat lain seperti pusat membeli belah atau taman permainan.

viii. Enggan ke sekolah

Enggan ke sekolah akibat daripada perasaan fobia terhadap sekolah. Kanak-kanak ini berasa bimbang untuk berpisah dengan keluarga dan bimbang meninggalkan kawasan rumahnya.

ix. Mencuri

Mengambil hak orang lain tanpa kebenaran tuannya. Tabiat mencuri barang rakan sekelas akan menyebabkan pertengkaran, pergaduhan, dan dipulaukan oleh rakan sekelas.


Punca salah laku

Tingkah laku yang ditunjukkan oleh kanak-kanak berpunca daripada faktor-faktor tertentu. Guru perlu memahami faktor-faktor yang menjadi punca masalah tingkah laku muridnya supaya menjadi panduan dalam merangka program pengurusan tingkah laku bagi murid tersebut. Roger Stancliffe (tidak bertarikh) telah menyenaraikan 9 faktor yang dikaitkan dengan masalah tingkah laku kanak-kanak.

i. persekitaran
ii. tekanan psikologikal
iii. ketakutan dan fobia
iv. peneguhan yang kurang sesuai
v. kemahiran komunikasi dan sosial yang terhad
vi. kesukaran tugasan
vii. aktiviti dan tahap rangsangan
viii. kesihatan dan perubatan
ix. jangkaan tingkah laku

Faktor persekitaran
Sesetengah kanak-kanak sangat sensitif terhadap persekitaran seperti bunyi bising, sejuk, panas, dan lain-lain. Perubahan tingkah laku akan ditunjukkan terutamanya bagi kanak-kanak yang mengalami kecacatan teruk, autisme, dan lain-lain.

Tekanan psikologi
Individu yang mengalami masalah tingkah laku obsesif dan tingkah laku yang sudah menjadi tabiatnya akan berasa senang dengan tingkah laku tersebut. Mereka akan berasa tertekan apabila kebiasaan tingkah laku itu diganggu atau dihalang.

Ketakutan dan fobia
Fobia adalah ketakutan yang keterlaluan terhadap sesuatu. Fobia termasuk juga takut terhadap sesuatu yang berbahaya seperti ular atau ketinggian yang melebihi tahap bahaya sebenar perkara tersebut. Ketakutan ini boleh menyebabkan bahaya kepada individu tersebut seperti berlari melintas jalan raya kerana takutkan anjing.

Peneguhan yang kurang sesuai
Tingkah laku bermasalah ada kalanya dikukuhkan secara tidak sengaja. Tindak balas semula jadi kita secara serta merta terhadap tingkah laku tertentu ada kalanya menjadikan tingkah laku itu lebih teruk. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak yang enggan makan ubat akan dipujuk serta dijanjikan dengan beberapa ganjaran oleh ibu dan bapanya. Oleh itu, kanak-kanak itu akan sengaja enggan makan ubat kerana mahukan perhatian daripada ibu bapanya.

Kemahiran komunikasi dan sosial yang terhad
Terdapat bukti yang jelas menunjukkan bahawa kadar tingkah laku bermasalah yang tinggi di kalangan kanak-kanak yang kurang berkomunikasi berbanding kanak-kanak yang boleh berkomunikasi dengan baik.

Kesukaran tugasan
Kesukaran tugasan boleh menyebabkan kanak-kanak melakukan kesilapan dan mengalami kegagalan. Keadaan kekecewaan ini berkait rapat dengan masalah tingkah laku yang mereka tunjukkan.

Aktiviti dan tahap rangsangan
Kekurangan aktiviti yang membina akan menyebabkan berlakunya masalah tingkah laku. Sebagai contoh, guru bukan hanya setakat memberi mainan atau buku kepada muridnya tetapi perlu mengajar murid tersebut kemahiran yang perlu untuk melakukan aktiviti tersebut.

Kesihatan dan perubatan
Kesakitan atau keadaan tertekan yang berkaitan dengan keadaan kesihatan tertentu boleh menyebabkan rasa kurang selesa dan boleh menyebabkannya berkelakuan kurang sesuai.

Jangkaan tingkah laku
Ada kalanya ibu bapa atau guru menjadi letih dengan tingkah laku kanak-kanak-kanak dan membiarkannya berkelakuan sedemikian dengan anggapan bahawa tingkah laku itu akan hilang dengan sendirinya. Jangkaan terhadap tingkah laku kanak-kanak tersebut adalah rendah daripada yang sepatutnya. Sebenarnya mereka ini terperangkap dengan anggapan bahawa itulah sifat kanak-kanak tersebut dan tidak boleh diubah lagi (the way he/she is).


TEKNIK-TEKNIK PENGURUSAN TINGKAH LAKU

Pelupusan dan peningkatan tingkah laku

Strategi pengurusan tingkah laku yang dipilih hendaklah sesuai dengan mengambil kira faktor-faktor murid tersebut seperti fizikal, emosi, mental, tahap keterukan, dan juga faktor pengaruh persekitaran, dan jangka masa pelaksanaan yang tertentu.


Strategi pengurusan tingkah laku melibatkan teknik-teknik berikut;

ganjaran (reinforcers)
Terdapat 3 jenis ganjaran iaitu;
i. ganjaran primer – makanan, minuman dll
ii. ganjaran social- senyuman, pujian dll
iii. ganjaran sekunder – token, kupon, mainan, bintang dll

dendaan (punishment)
- tahanan kelas (lambat balik) , dendaan fizikal, ambil balik token/hak

pengasingan (isolation)
- mengasingkan peneguh daripada tingkah laku yang dipilih
- asingkan murid daripada aktiviti yang disukainya

pembentukan (shaping)
- pemberian pengukuhan kepada perlakuan-perlakuan yang dilakukan oleh murid yang menjurus kepada pementukan perlakuan yang dikehendaki.

prompting
- digunakan untuk mendapatkan rangsangan tertentu yang dipilih sebagai tanda atau klu kepada murid untuk melaksanakan tingkah laku yang dikehendaki secara lisan, gerak badan (gesture) dan fizikal.

fading (pelunturan)
- mengurangkan tingkah laku atau ganjaran secara perlahan-lahan

modeling
- menggunakan watak-watak (murid,guru ) yang disukai dan dihormati untuk diteladani oleh murid

kejelakan/Kebosanan (satiation)
- membiarkan murid melakukan tingkah laku itu hingga dia jemu melakukannya dan berhenti sendiri
- “Over Correction” adalah satu teknik kejelakan.

desensitization
- tindakan-tindakan secara beransur-ansur untuk menghilangkan rasa gugup atau takut yang berlebihan takut bercakap di depan kelas, fobia dll

bimbingan dan kaunseling
- pendekatan-pendekatan kaunseling untuk membimbjng murid menghadapi atau menangani masalah tingkah laku

terapi muzik/seni
- menggunakan muzik atau seni untuk mententeramkan emosi, anxiety, dan melepaskan perasaan yang tertekan

penamatan/pelupusan (extinction)
- memberhentikan atau menyekat murid murid daripada terus melakukan tingkah laku negatif secara beransur-ansur dengan menggantikan dengan tingkah laku baru yang positif

pengasingan (time-out, suspension)
- menempatkan murid berasingan daripada kumpulan (penjuru bilik, bilik khas)
- mengeluarkan murid daripada aktiviti kumpulan

kontrak perjanjian (contigency contracting)
- persetujuan di antara dua pihak atau lebih (guru dan murid) secara lisan atau bertulis. Murid dipertanggungjawabkan terhadap perkara atau aktiviti yang dipilih. Kontrak akan berjaya jika murid faham akan tingkah laku yang hendak diubah dan murid faham akan kesan yang
akan berlaku.


LANGKAH-LANGKAH PEMBENTUKAN PROGRAM PENGURUSAN TINGKAH LAKU

Program pengurusan tingkah laku merupakan dokumen bertulis yang telah dirancang, dibina, dilaksana , dan direkod bagi meningkatkan atau mengurangkan satu-satu tingkah laku bermasalah atau luar biasa.

Langkah-langkah yang disarankan dalam program pengurusan tingkah laku ini boleh diubah suai bergantung kepada kesesuaian individu atau kumpulan murid tersebut.

Langkah-langkah pembentukan program pengurusan tingkah laku;

- memilih tingkah laku yang perlu diubah berdasarkan keutamaan
- membuat pemerhatian dan merekodkan tingkah laku tersebut
- menentukan tingkah laku sasaran yang hendak dicapai (target behaviour)
- mengenal pasti masa pelaksanaan bagi tiap peringkat
- memilih strategi dan kaedah yang perlu diguna pakai
- menentukan ganjaran dan dendaan (reinforcer and punishment)
menjalankan program
- melakukan penilaian secara berterusan atau secara berkala (periodical evaluation)
- tindakan/intervensi susulan (berhenti apabila tingkah laku sasaran dicapai
- memastikan supaya tingkah laku negatif tidak berulang dan tingkah laku yang telah dipulih (positif) dikekalkan atau ditingkatkan

Sebelum sesuatu tingkah laku dapat diurus, beberapa perkara perlu diambil perhatian terlebih dahulu,iaitu;

- Apakah jenis tingkah laku yang dapat diperhati?
- Tingkah laku yang mana satu harus diberi keutamaan?
- Bila tingkah laku itu berlaku?
- Kekerapan tingkah itu berlaku.
- Apakah punca/sebab tingkah laku itu berlaku?
- Bagaimana hendak mengurus tingkah laklu tersebut?

3 comments:

  1. informasi yg sangat berilmu untuk dikongsi. terima kasih. cuma saya mempunyai masalah dalam merancang aktiviti yg sesuai utk murid saya yg bersifat pergantungan berlebihan kerana saya kurang mahir dalam bidang ini. andai dapat berkongsi pandangan dan idea, ucapan terima kasih saya hulurkan...

    ReplyDelete
  2. terima kasih juga kerana sudi melawat blog saya. Maaf kerana lama saya tidak melayari internet. Untuk makluman, saya mengajar di kawasan Pedalaman Sabah..internet xder.. mmmmmm... saya tidak lah pakar sangat tentang masalah yang cikgu utarakan, tetapi saya ingin sekali berkongsi sedikit... cikgu menghadapi masalah murid yang terlalu bergantung kepada guru...sama lah juga dengan saya.. masalah ini juga dihadapi oleh guru-guru pemulihan khas yang lain. Pendapat saya, Cuba cikgu mudahkan sedikit objektif pembelajaran yang hendak dicapai..contohnya... murid-murid dapat membaca sekurang-kurangnya 3 perkatan KV+KV, murid-murid dapat membaca sekurang-kurangnya 2 ayat mudah yang mengandungi perkataan KV+KVK, murid-murid dapat menulis sekurang-kurangnya 2 ayat yang mengandungi perkataan KV+KV Objektif yang mudah dicapai akan memudahkan kita merancang aktiviti yang mudah dan ringkas. Harap-harap pandangan ini dapat membantu cikgu. Salam.

    ReplyDelete
  3. Betul cadangan Cikgu Cam. Jiakalu kami mudahkan objektif pembelajaran , murid akan memdapat kepuasan .Lama-kelamaan murid kami akan lebih mempunyai keyakinan untuk selesaikan masalah dengan sendiri tanpa terlalu bergantung kepada kami .

    ReplyDelete